Friday, 10 October 2014

Paparan Utama

0 comments

Nama:
1) Amy Shakini binti Mustafa
08DMP14F1008
2) Seri Nanisa Sima binti Yusoff
08DMP14F1038
3)Nurul Farhana binti Ismail
08DMP14F1046
3) Siti Aisyah binti Ahmad Fuaad
08DMP14F1050

Tajuk: 
Perlembagaan Malaysia
Bagaimana konsep keluhuran perlembagaan menjamin keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia?

Program:
Diploma Mekanikal Pembungkusan

Sesi:
Jun 2014

Jabatan:
Mekanikal

Nama Pensyarah:
Puan Aishah binti Abdul Razak


Pengenalan

0 comments
    Perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua susunan peraturan dan undang-undang dasar yang dianggap penting bagi pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara. Perlembagaan berperanan menentukan bidang kuasa pemerintahan, bentuk sesebuah kerajaan dan hak-hak rakyat.

     Perlembagaan ialah suatu kumpulan undang-undang dasar yang menentukan cara pemerintahan sesebuah negara itu dijalankan. Perlembagaan menerangkan kuasa-kuasa yang dipunyai oleh pelbagai anggota negara itu, hak-hak yang dipunyai oleh orang yang diperintah dan perhubungan antara yang memerintah dengan orang yang diperintah.

Kepentingan Perlembagaan

0 comments
Kepentingan Perlembagaan Persekutuan ialah:
  1. Menjamin kestabilan politik dan sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan. Perlembagaan menentukan corak pemerintahan, pembahagian kuasa antara pelbagai badan kerajaan serta prinsip-prinsip umum cara kuasa tersebut dilaksanakan.
  2. Menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Perlembagaan menentukan hak asasi rakyat seperti kebebasan bercakap, kebebasan beragama dan pemilikan harta. Perlembagaan dapat mengelakkan penyalahgunaan kuasa pemerintahan.
  3. Perlembagaan juga menentukan tanggungjawab rakyat dan batasan atau larangan seperti hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang tidak boleh dipersoalkan. Hal ini adalah penting untuk mengelakkan persengketaan kaum.
  4. Memudahkan perpaduan nasional dan pembangunan negara. Perlembagaan melindungi kepentingan semua kaum. Perlembagaan juga menjamin keadilan sosial antara kaum. Hal ini dapat memupuk perpaduan nasional dan mempertingkatkan pembangunan negara.
     Kepentingan perlembagaan di sesebuah negara itu juga mempunyai haluan tertentu. Hal ini demikian kerana, perlembagaan mempunyai undang-undang dasar yang menentukan arah politik negara tersebut. Menerusi perlembagaan, arena politik negara dapat ditentukan dan parti-parti politik pula mengetahui hala tuju semasa memegang kuasa dan mentadbir negara.

Keluhuran Perlembagaan

2 comments
Keluhuran Perlembagaan

Keluhuran Perlembagaan bererti ketinggian atau keagungan perlembagaan itu sendiri. Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara Malaysia. Semua undang-undang yang lain tidak boleh bercanggah dengan perlembagaan yang telah dibentuk. Parlimen pula memperoleh kuasa daripada perlembagaan dan tidak boleh membuat undang-undang bagi perkara yang berada di luar bidang kuasanya. Meskipun Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara, baginda perlu menjalankan kuasanya mengikut kehendak perlembagaan. Selain itu, kuasa kehakiman mahkamah juga tertakluk kepada kehendak perlembagaan. Oleh itu, tidak terdapat sebarang institusi di Malaysia melainkan Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai kuasa tertinggi.



Konsep Ketertinggian Perlembagaan


Undang-undang Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara. Perlembagaan Persekutuan menjadi punca kepada semua undang-undang samada yang sedia ada atau yang bakal digubal. Perlembagaan ini juga menentukan berbagai-bagai perkara tentang kebebasan asasi, kewarganegaraan, kerajaan persekutuan, perundangan, kedudukan negeri, perkhidmatan awam, kehakiman dan lain-lain lagi. Semua undang-undang yang ada tidak boleh berlawanan dengan perlembagaan. Dengan ini, perlembagaan merupakan dokumen yang mengandungi semua undang-undang tertinggi bagi memerintah negara.
     Kedudukan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi amat penting untuk negara yang mengamalkan sistem persekutuan seperti Malaysia. Hal ini memudahkan kerajaan persekutuan menjalankan kuasa pemerintahan dan pentadbiran dengan licin tanpa terpaksa bersaing dengan pihak lain. Seiring dengan kedudukan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, parlimen memperoleh kuasanya daripada perlembagaan. Parlimen mempunyai kuasa yang terhad dan tidak boleh membuat undang-undang bagi perkara-perkara yang berada di luar bidang kuasanya.
     Mahkamah mempunyai kuasa untuk membatalkan sesuatu undang-undang yang digubal oleh parlimen jika undang-undang berkenaan berada di luar bidang kuasanya dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Hal ini bermakna mahkamah juga tertakluk kepada kehendak-kehendak perlembagaan. Walaupun Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua negara, baginda juga tertakluk kepada perlembagaan. Baginda tidak boleh bertindak sesuka hati, tetapi harus menjalankan tugas mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan di dalam perlembagaan.

Isi Kandungan Perlembagaan



Secara keseluruhannya, Perlembagaan Persekutuan mempunyai 183 perkara yang dibahagikan kepada 15 bahagian, iaitu:

Bil
Perkara
1.
Kebebasan hak asasi rakyat.
2.
Kebebasan diri dan kebebasan bergerak.
3.
Kebebasan bercakap, berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan.
4.
Kebebasan beragama.
5.
Kebebasan daripada menjadi abdi dan melakukan kerja paksa.
6.
Perlindungan daripada undang-undang yang berkuasa kebelakangan dan perbicaraan berulang.
7.
Kesamarataan di sisi undang-undang.
8.
Kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak (Perkara 153).
9.
Orang Melayu dan kaum Bumiputera diberi hak-hak istimewa dalam pemegangan jawatan perkhidmatan awam, pemberian biasiswa dan pengeluaran permit seta lesen.
10.
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152).
11.
Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu namun tiada sesiapapun boleh dilarang daripada menggunakan (selain maksud rasmi) atau mengajar atau mempelajari bahasa-bahasa lain.
12.
Bahasa Inggeris boleh digunakan bagi maksud-maksud rasmi tertentu seperti perutusan dengan kerajaan luar negeri atau badan-badan antarabangsa.
13.
Kewarganegaraan.
14.
Kerajaan boleh melucutkan kewarganegaraan seseorang yang telah memperoleh kerakyatan negara lain (Perkara 24).
15.
Kerajaan boleh melucutkan kewarganegaraan seseorang sekiranya terbukti dia tidak setia atau tidak suka kepada Malaysia.

Perlembagaan Memupuk Perpaduan

0 comments
Menghormati Perlembagaan Negara. Perlembagaan negara Malaysia ini berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang berkuatkuasa 31 Ogos 1957, dan digubal oleh Suruhanjaya Reid. Antara lain ia menyebut tentang pembentukan kerajaan pusat yang kuat dan berkuasa ke atas negeri-negeri, kedudukan raja-raja Melayu, memilih dan melantik Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu, wujudkan satu rupa bangsa, menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan lain-lain.

Antara aspek-aspek utama dalam Perlembagaan Negara Malaysia yang dirangkumi oleh prinsip ketiga ini adalah berkaitan dengan kedudukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Sementara itu Hak-hak Keistimewaan Orang Melayu di Semenanjung dan Hak Keistimewaan Bumiputera di Sabah dan Sarawak juga terkandung di dalam Perlembagaan Negara Malaysia.
Walau bagaimanapun, hak-hak yang adil bagi kaum bukan Bumiputera tetap juga diberikan. Antaranya, pemberian taraf kewarganegaraan Malaysia kepada mereka yang layak, sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara itu sendiri. Walaupun bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi, namun perkembangan bahasa-bahasa lain adalah tidak dihalang, atau disekat. Malah bahasa Inggeris sendiri dijadikan bahasa kedua Malaysia.
Begitu juga halnya dengan agama Islam, walaupun secara rasminya telah menjadi agama utama, namun orang bukan Islam juga bebas untuk menganuti dan mengamalkan agama mereka, mengikut kepercayaan agama masing-masing. Manakala hak asasi rakyat juga dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Negara Malaysia ini. Pendeknya, tiada sesiapa pun, atau mana-mana pihak yang boleh menggangu-gugat hak asasi rakyat di negara ini.
Sebagai undang-undang yang tertinggi sifatnya, maka Perlembagaan Negara Malaysia mestilah dihormati, dijunjung tinggi, dan dimuliakan. Sesungguhnya, kalau Keluhuran Perlembagaan negara Malaysia ini tercemar, bererti satu penghinaan kepada bangsa dan negara sudah berlaku. Justeru itu, kestabilan negara juga akan tergugat sekiranya rakyat tidak menerima dan menghormati keluruhan Perlembagaan Negara Malaysia ini.
Apa yang lebih mendukacitakan kita lagi andainya terdapat sebilangan rakyat negara ini yang terus mempersoalkan dan mengkritik Perlembagaan Negara Malaysia ini tanpa mengetahui langsung asal-usul dan sejarah penggubalannya. Justeru itu, menyanjung, menjunjung tinggi, dan mendaulat serta mempertahankan Perlembagaan Negara Malaysia adalah satu tanggungjawab yang mulia dan terpuji bagi setiap warganegara Malaysia, tidak kira bangsa, keturunan, agama, dan kebudayaannya.
Kestabilan negara menjadi pedoman kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum, ke arah pembentukan perpaduan nasional. Ketiga-tiga prinsip ini jelas kelihatan bertujuan supaya rakyat Malaysia bersatu-padu di bawah satu negara yang mempunyai perpaduan kukuh, sehingga sukar diganggu-gugat oleh apa juga anasir negatif yang cuba memecah-belahkan kita.
Sesungguhnya, apabila wujudnya perpaduan nasional, maka barulah terjamin kesejahteraan masyarakat majmuk, dan seterusnya akan melahirkan pula sebuah negara dan bangsa Malaysia yang bersatu, demokratik, adil, liberal, dan saintifik tanpa mengira keturunan dan kepercayaan. Pendeknya, jelas sekali prinsip ini merupakan kunci kepada masyarakat pelbagai kaum di Malaysia ini, demi untuk memelihara serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara Malaysia itu sendiri.

Cara yang ketiga jangan membangkitkan isu sensitif kaum lain. Malaysia adalah Negara yang berdaulat dan mempunyai masyarakat yang majmuk. Jadi sebagai masyarakat yang harmoni, tidak salah jika menghormati antara satu sama lain. Jangan sesekali kita membangkitkan isu sensitif sesuatu kaum. Sebagai contoh, masayarakat India tidak suka dipanggil keling ataupun paria. Perkara tersebut akan membangkitkan kemarahan mereka. Paria merujuk kepada kasta terbawah dalam masyarakat India.
Isu-isu perkauman bermaksud isu-isu yang melibatkan hubungan antara kaum dalam aspek penggunaan bahasa, dimensi agama, tingkah laku sosial, perlakuan fizikal, sektor pekerjaan, perbuatan buli, penulisan dan literatur, rasisme dan seumpamanya.
Dalam konteks Malaysia, isu-isu sensitif pula membawa erti isu-isu yang melibatkan perkara-perkara yang sensitif dalam Malaysia berkaitan dengan hak-hak keistimewaan Melayu, status Bumiputera, kontrak sosial, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sistem kuota dan perkara-perkara stereotype.
Isu-isu ini tidak boleh dibahaskan, didebatkan atau dibincangkan secara terbuka kerana ia akan membawa kepada api permusuhan hasil daripada perasaan kurang senang dan tidak berpuas hati. Isu-isu sensitif ibarat api dalam sekam yang menyala dalam diam-diam hingga boleh membawa kepada kebakaran. Ini juga adalah salah satu sebab yang bakal membawa kepada insiden konflik atau pergaduhan antara kaum. Isu-isu perkauman dan isu-isu sensitif juga melibatkan perlakuan memperlekehkan dan merendah-rendahkan kaum lain serta mempertikaikan hak orang lain. Termasuk juga dalam ruang lingkup tafsiran isu perkauman dan isu sensitif ialah ucapan, perbuatan, perkataan, penerbitan atau sebarang cara yang boleh ditafsirkan sebagai kecenderungan menghasut (Akta Hasutan 1948).
Akta Hasutan telah menggariskan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum di negara ini. Kecenderungan menghasut mencakupi perlakuan ataupun kecenderungan melakukan sesuatu yang membawa kebencian, penghinaan atau ketidaksetiaan kepada Raja atau kerajaan, membangkitkan perasaan rakyat untuk mendapatkan perubahan kerajaan yang memerintah dengan cara yang tidak sah, menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat, menyebarluaskan perasaan dan niat jahat serta konflik antara kaum, mempersoalkan dalam apa jua bentuk atau sebarang perkara berkaitan Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan (Akta Hasutan 1948).
Isu-isu perkauman dan isu-isu sensitif boleh menggugat perpaduan dan kesepakatan antara kaum, mewujudkan huru-hara dan ancaman ketenteraman awam, mencetuskan konflik dan perselisihan kaum dan konflik antara agama, mewujudkan suasana prejudis, prasangka, dan hubungan tidak baik antara kaum, menghilangkan semangat toleransi, menimbulkan suasana tidak aman serta mengurangkan persefahaman bangsa berbilang kaum. Kesemua elemen-elemen negatif ini akan mengganggu-gugat keharmonian hubungan antara kaum sehingga menjejaskan perpaduan, menghilangkan kesedaran tentang kepentingan hubungan antara kaum, merencatkan keselesaan rakyat pelbagai kaum agar dapat hidup dengan harmoni dan mengusutkan hubungan interaksi antara agama dan budaya.
Contoh yang ketara ialah ketika kempen Pilihanraya Umum  1969.
Semasa kempen tersebut, parti-parti politik pembangkang yang bertanding telah memainkan isu-isu yang sensitif seperti kedudukan dan hak keistimewaan orang Melayu, soal bahasa dan kerakyatan untuk memancing undi daripada orang ramai. Ini telah menimbulkan pelbagai rasa tidak puas hati di kalangan orang-orang Melayu. Insiden ini disusuli dengan perarakan sempena kejayaan pembangkang (DAP dan GERAKAN) yang memenangi kerusi yang agak banyak dan berjaya menafikan majoriti dua per tiga Parti Perikatan. Orang-orang Melayu pula telah mengadakan perhimpunan susulan. Keadaan menjadi tidak terkawal dan akhirnya tercetuslah peristiwa hitam 13 Mei 1969.
Bukan itu sahaja, parti tersebut membangkitkan kemarahan orang melayu dengan membawa penyau sebagai lambang untuk mengusir orang melayu keluar dari Tanah Melayu. Bagi orang melayu penyapu merupakan tanda sial bagi mereka. Jadi perkara ini juga mendorong menaikkan kemarahan orang melayu ketika itu.

Cara yang keempat, rakyat haruslah bergaul dan memupuk persefahaman antara kaum. Dalam keadaan tersebut, ibu bapa perlulah menerapkan nilai-nilai perpaduan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Persis kata mutiara, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Mereka digalakkan berkomunikasi dengan jiran yang berlainan bangsa dan membawa anak-anak mengunjungi rumah jiran semasa hari lebaran. Dengan cara itu, ibu bapa dapat menjadi suri teladan kepada anak-anak dan membolehkan mereka menghayati keistimewaan masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai jenis kaum dan etnik. Satu lagi cara yang dapat diambil oleh ibu bapa ialah bergaul dengan anak-anak dalam pelbagai bahasa, misalnya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan bahasa-bahasa ibunda. Apabila golongan muda menguasai pelbagai bahasa, mereka dapat berkomunikasi dengan rakan yang berlainan bangsa dengan mudah. Pokoknya, nilai-nilai perpaduan dan permuafakatan hendaklah didedahkan kepada generasi muda sejak awal lagi agar jiwa perpaduan dalam diri mereka dapat berkembang dengan sempurna.

Seterusnya, institusi-institusi pendidikan perlu bertanggungjawab menerapkan semangat bersatu-padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Antara langkah yang dapat diambil adalah dengan memberikan kerja-kerja berkumpulan. Dalam konteks ini, guru-guru hendaklah membahagikan pelajar secara berkumpulan dalam melaksanakan projek-projek sekolah, seperti kajian Sains, persembahan maklumat, dan sambutan-sambutan dalam sekolah. Guru-guru juga haruslah membahagikan kedudukan pelajar dengan sempurna untuk menggalakkan pelajar berkomunikasi dengan pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan bukannya sesama kaum sahaja. Dalam proses menjayakan inisiatif-inisiatif tersebut, guru tidak boleh mencetuskan isu-isu sensitif semasa mangajar, misalnya dengan mengagung-agungkan warisan budaya sendiri dan mengejek budaya kaum lain. Pendek kata, pelajar-pelajar dan guru-guru perlulah bekerjasama “bagai aur dengan tebing” demi menzahirkan semangat perpaduan di peringkat sekolah.
Di samping itu, pelajar-pelajar perlulah belajar dan menghayati sejarah negara agar dapat memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk mewujudkan permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan pelajar-pelajar agar lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dasar tersebut akan berkuatkuasa mulai tahun 2013. Langkah bijak tersebut diharapkan dapat menyedari anak-anak bangsa tentang kesan akibat kurangnya perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Antaranya, dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan semasa penjajahan British telah menyukarkan usaha menyatupadukan kaum menjelang kemerdekaan negara. Pada masa yang sama, kita tentulah tidak mengharapkan peristiwa 13 Mei 1969 berulang dan menggugat kestabilan tanah air. Oleh itu, pelajar perlu mengenali sejarah tanah air agar dapat menyemai semangat perpaduan dalam diri individu. Ahli falsafah terkemuka, iaitu George Santayana juga menyatakan bahawa “sesiapa yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginya”.

Pada masa yang sama, rakyat Malaysia hendaklah menghindari sebarang tindakan yang dapat mencetuskan provokasi kaum. Hal ini adalah kerana tindakan-tindakan yang dapat membangkitkan isu perkauman dapat mengakibatkan pertelingkahan antara kaum, seterusnya menjejaskan keamanan negara. Misalnya, Wee Meng Chee ataupun lebih dikenali sebagai Namewee, iaitu seorang pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Taiwan, telah menimbulkan api kemarahan rakyat Malaysia dengan karyanya yang berjudul “Negarakuku”. Lagu “rap” yang diubahsuai daripada lagu Negaraku berbaur unsur-unsur yang menghina Perlembagaan Negara dan dasar-dasar pentadbiran negara. Sekiranya banyak rakyat Malaysia yang bertindak sedemikian, ke manakah akan perginya perpaduan negara dan maruah negara? Sesungguhnya, walaupun kita diberikan kebebasan bersuara, kita janganlah mengambil kesempatan tersebut untuk mencetuskan isu-isu sensitif yang dapat menghancurkan keharmonian dan kedaulatan negara.

Seterusnya, masyarakat setempat juga memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini. Mereka sewajarnya menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, Program Rukun Tetangga, dan kempen Bulan Kemerdekaan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Melalui aktiviti-aktiviti seperti gotong-royong dan Program Rukun Tetangga, selain daripada menjamin kesejahteraan hidup warga setempat, rakyat juga berpeluang berkomunikasi dan menghulurkan bantuan kepada jiran tetangga yang berlainan bangsa. Bak kata pepatah, “serampang dua mata”. Smabutan-sambutan khas seperti Hari Keluarga dan Kempen Bulan Kemerdekaan dalam pelbagai peringkat pula dapat membuka mata rakyat jelata tentang adat resam dan budaya kaum lain. Program Hari Keluarga misalnya, menawarkan rencaman jenis permainan dan aktiviti bersuka-ria yang memerlukan perancangan teliti dan kerjasama yang erat antara ahli keluarga ataupun jiran tetangga. Sesungguhnya, masyarakat setempat tidak ketinggalan dalam memainkan peranan yang penting untuk melahirkan permuafakatan dalam kalangan masyarakat negara.

Kerajaan pula harus memainkan tugas penting untuk menggerakkan rakyat ke arah perpaduan yang jitu. Sebagai jentera pentadbiran negara, kerjaan perlulah berusaha menerapkan gagasan Satu Malaysia dalam kalangan rakyat. Namun, apakah gagasan Satu Malaysia sebenarnya? Gagasan Satu Malaysia yang diwara-warakan oleh Perdana Menteri Malaysia, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak ini bertujuan mewujudkan sebuah negara bangsa yang merangkumi persefahaman dan perpaduan yang utuh dalam kalangan warga Malaysia. Demi merealisasikan gagasan tersebut, kerajaan haruslah menganjurkan pelbagai kempen untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat. Antaranya ialah pameran kebudayaan dan warisan masyarakat Malaysia. Langkah ini dapat menyemai persefahaman dalam kalangan rakyat berbilang kaum kerana mereka dapat mengenali dan menghayati budaya kaum lain dengan lebih lanjut. Kempen “Cintai Bahasa Kita” perlulah digiatkan dengan lebih cergas lagi untuk memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu. Hal ini adalah kerana bahasa kebangsaan merupakan wahana penting yang dapat memudahkan komunikasi antara rakyat. Kerajaan turut telah mengambil langkah menganjurkan Program Integrasi Nasional dalam kalangan pelajar sekolah. Program tersebut sebenarnya bertujuan untuk menerapkan semangat bersatu-padu dalam diri bakal peneraju negara. Tuntasnya, usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan perlu dimanfaatkan oleh rakyat dan bukannya “seperti kera mendapat bunga” agar perpaduan dan integrasi nasional dapat diwujudkan.

Salah satu langkah untuk mengekalkan keharmonian negara dalam menyokong aspirasi 1 Malaysia ialah dengan penubuhan sekolah wawasan. Sekolah wawasan merupakan tempat yang terbaik untuk memulakan proses integrasi antara kaum. Sekolah wawasan menyediakan ruang dan peluang untuk murid-murid pelbagai kaum berinteraksi secara langsung kerana mereka berkongsi kantin, padang permainan, dewan dan kemudahan lain di sekolah. Mereka berpeluang untuk saling mengenai dan memahami antara satu sama lain. Dengan itu, mereka akan membesar dengan sikap toleransi dan hormat terhadap budaya, kepercayaan dan agama kaum lain. Tegasnya, sekolah wawasan mampu memupuk persefahaman kaum dan seterusnya mempercepat integrasi nasional.

Selain itu, pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga mampu mengekalkan keharmonian rakyat serta negara. PLKN dapat merealisasikan perpaduan nasional. Hal ini demikian, kerana aktiviti PLKN dilakukan secara berkumpulan dan segala aktiviti yang dilaksanakan memerlukan kerjasama antara semua peserta. Melaluinya, remaja pelbagai kaum akan ditempatkan bersama di bawah satu bumbung. Mereka akan menjalankan aktiviti bersama-sama, berinteraksi dan bergaul mesra. Mereka akan terdedah kepada corak hidup masyarakat majmuk Malaysia secara mendalam. Persefahaman yang lebih erat akan memupuk perasaan kekitaan. Dengan ini, tembok pemisah antara kaum dapat diruntuhkan disamping mengekalkan keharmonian negara.

Kesimpulan

0 comments
Kesimpulannya perpaduan rakyat Malaysia amat penting dalam menjadikan negara Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020. Perpaduan masyarakat Malaysia penting bagi mencapai hasrat Wawasan 2020. Mantan Perdana Menteri Malaysia kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad, telah mengemukakan Wawasan 2020 dalam persidangan pertama Majlis Perdagangan Malaysia pada tahun 1991. Dalam ucapannya, beliau mengemukakan perpaduan rakyat Malaysia sebagai cabaran pertama untuk membentuk sebuah negara yang utuh. Perpaduan hanya tercapai jika rakyat kita yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama mempunyai perasaan kekitaan sebagai warga Malaysia. Tanpa perpaduan kaum, kita tidak dapat membawa negara kita ke tahap kemajuan yang optimum. Oleh itu, Wawasan 2020 akan tercapai dengan adanya semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
 

Perlembagaan Malaysia Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template